Malaysia Berita

Baddrol Setia Bersama Kedah

Pemain lagenda Kedah, Baddrol Bakhtiar yang pernah memenangi gelaran double treble sewaktu beraksi dibawah jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong beliau yang masih percaya kepada kemampuan beliau.

Pemain berusia 30 tahun ini telah bersama Kedah sejak daripada tahun 2005 lagi dan pelbagai gelaran telah beliau menangi bersama Kedah.

Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan bahawa beliau akan dilepaskan oleh pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang sedang melakukan perubahan secara keseluruhan buat pasukan Lang Merah.

Berita ini telah mendapat kritikan daripada para penyokong Lang Merah kerana mereka percaya bahawa Baddrol masih mampu untuk memberikan sesuatu buat pasukan Kedah.

“Saya sangat terharu serta sebak apabila mengetahui penyokong Kedah masih sayangkan saya dan memberi sokongan berterusan di kala jatuh bangun pasukan selama 13 tahun saya beraksi.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) serta ketua jurulatih Aidil Sharin yang terus memberi kepercayaan dan ingin menggunakan khidmat saya untuk musim hadapan.

“Walaupun saya mempunyai beberapa pilihan sebelum ini, terus terang saya nyatakan yang semangat perjuangan dan hati saya masih kental bersama Kedah dan keputusan ini juga juga kerana mengenangkan jasa baik pengurusan KFA Kedah selama ini.”

“Semestinya saya dan juga pemain lain yang sudah diumumkan KFA tidak sabar untuk memulakan latihan dan beraksi pada musim depan di bawah kendalian jurulatih baharu, Aidil Sharin.

“Saya harap semua penyokong Hijau Kuning dapat menolak segala andaian negatif yang mampu melemahkan pasukan dan jika semua pemain, jurulatih, pengurusan dan penyokong bekerjasama dan berfikiran positif, insya-Allah sasaran seperti juara Liga Super yang diidamkan untuk musim depan mampu kita capai,” katanya kepada Berita Harian.