Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Farizal Marlias Akui Tertekan

Penjago gol negara, Farizal Marlias adalah antara pemain senior yang dipanggil Tan Cheng Hoe untuk membarisi senarai 23 pemain negara pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 kali ini. Beliau yang berumur 32 tahun adalah penjaga gol kedua buat skuad negara dibelakang Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain kelahiran Pahang ini mengakui kepada media walaupun mereka bermain dihadapan penyokong sendiri, tekanan masih tetap ada kerana perlawanan bertemu Myanmar ini dianggap misi hidup mati pasukan Harimau Malaya.

Memetik kata-kata beliau pada Berita Harian, beliau menyatakan bahawa setiap pemain perlu cepat mengatasi tekanan tersebut dan menukarkannya menjadi sebuah motivasi.

“Bukan mudah untuk berdepan Myanmar. Bezanya kami bermain di gelanggang sendiri tapi ia bukan  kelebihan buat kami keranan tekanan tetap ada dan ia mengenai bagaimana kami perlu atasi tekanan itu.

“Saya percaya semua pemain akan mempamerkan persembahan terbaik, memberikan segala-galanya untuk kami mara ke separuh akhir.

“Kami semua sudah melakukan persiapan terbaik dan jika diberi peluang, kami akan memikul tanggungjawab itu. Saya sendiri juga sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Kami percaya terhadap kerjasama berpasukan dan bukan hanya kemahiran individu kerana ia menjadi perkara paling utama untuk mengharungi perlawanan esok.

“Komitmen semua pemain berada pada tahap tertinggi dan kami tahu ini perlawanan terakhir kami sebelum ke peringkat seterusnya,” katanya.