Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Aksi Malaysia, Myanmar Bakal Pecah Rekod Kehadiran Penonton

Kehadiran penyokong Harimau Malaya ke perlawanan penentuan bagi tempat ke separuh akhir diantara Malaysia dan Myanmar bagi aksi Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018  di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal memecahkan rekod kehadiran bagi edisi kali ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melaporkan bahawa 60,000 keping tiket telah habis dijual sehingga semalam dan bakal bertambah dengan jualan tiket di setiap pintu masuk stadium pada hari perlawanan. 

Dengan jangkaan jumlah kehadiran akan bertambah, perlawanan diantara Malaysia dan Myanmar bakal menjadi perlawanan tumpuan kerana kedua-dua pasukan sedang merebut tempat ke peringkat kalah mati.

Sebelum ini, rekod jumlah kehadiran penonton dengan 40,000 kehadiran di Stadium My Dinh dipegang oleh Vietnam ketika melayan kunjungan Malaysia pada 16 November lalu yang menyaksikan pasukan negara tewas ditangan Vietnam.

Manakala ditempat kedua dipegang oleh Thailand dengan kehadiran 37,000 orang bagi aksi diantara Thailand bertemu Indonesia pada Sabtu lalu di Stadium Rajamangla, Bangkok.

Aksi diantara Harimau Malaya menentang Myanmar bakal memecahkan rekod kehadiran penonton apabila kedua-dua pasukan akan bertemu bagi menentukan tempat di peringkat seterusnya.

Bagi pengendali negara, Tan Cheng Hoe merasakan kehadiran penyokong yang hadir bakal menaikkan semangat anak buah beliau untuk beraksi dan pada masa yang sama memenangi hati penyokong dengan kemenangan.

“Sebagai seorang jurulatih, saya mahu pasukan saya membuatkan penyokong yang hadir gembira dengan cara permainan kami dan kemenangan kami.

“Kami akan turun dengan falsafah yang sama ketika bertemu Vietnam, tetapi kami kalah di Hanoi.

“Jadi saya mahu pasukan saya turun dengan fikiran yang positif dan bermain dengan tenang sepanjang perlawanan. Mereka tidak boleh membenarkan pasukan Myanmar mengganggu fokus mereka.” Kata beliau ketika ditanya media.