Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Sumareh Mahu Fokus, Safawi Percaya Pada Rezeki

“Buat masa ini, tiada apa yang ingin saya katakan,” kata Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi pertama negara ini tidak mahu mengulas lanjut tentang prestasinya pada kempen Piala AFF Suzuki 2018, tetapi mahu memberi tumpuan sepenuhnya bagi meningkatkan tahap kecergasan beliau.

Sumareh dijangka akan diturunkan Tan Cheng Hoe bagi menambah dimensi serangan Malaysia ketika mereka melayan kunjungan Myanmar pada Sabtu ini pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A bagi menentukan pasukan mana yang layak ke peringkat seterusnya.

Beliau yang mengalami kecederaan sebelum perlawanan menentang Laos yang menyaksikan Malaysia menang 3-1 pada 12 November lalu.

“Saya hanya fokus untuk kembali cergas 100 peratus selepas mengalami kecederaan hamstring jadi apa yang saya mahukan adalah kemenangan pada perlawanan Sabtu ini.

“Hanya selepas itu saya boleh menjawab segala persoalan mengenai kemampuan saya,” katanya.

Sumareh dilihat tertekan selepas menjadi pemain harapan negara untuk menyerlah pada kejohanan ini tetapi yang mencuri tumpuan adalah pemain senior Norshahrul Idlan Talaha yang telah menyumbat tiga gol sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018.

Selain Sumareh, Safawi Rasid juga dilihat tenggelam pada kempen kali ini apabila gagal menjaringkan sebarang gol buat Malaysia sepanjang tiga perlawanan peringkat Kumpulan A yang menyaksikan Malaysia menang dua perlawanan manakala tewas dengan Vietnam, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut tentang akaun gol yang belum dibuka oleh beliau, Safawi menyifatkan bahawa rezeki beliau masih belum sampai dan akan cuba berusaha sehabis baik untuk membantu skuad negara serta dapat menjaringkan gol.

Untuk rekod, Myanmar adalah pasukan yang bertanggungjawab menendang pasukan Harimau Malaya dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee keluar daripada kejohanan Piala AFF Suzuki edisi 2016 selepas tewas 0-1 pada peringkat kumpulan.

Perlawanan Sabtu nanti akan menjadi misi hidup mati buat skuad negara apabila perlu menang ke atas Myanmar untuk melangkah ke pusingan seterusnya.