Malaysia Berita

Khidmat Faris, Shahrel Diintai Juara Piala Malaysia

Pemain tengah kebangsaan Singapura yang sedang meningkat naik, Faris Ramli kini berada di dalam radar beberapa kelab daripada Liga Super. Terbaru, pemain ini berada di dalam perhatian pasukan juara Piala Malaysia, Perak.

Pemain berusia 26 tahun ini bermain untuk PKNS musim lepas bakal melengkapkan status kuota import Asia Tenggara (ASEAN) setelah Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menggugurkan dua pemain import.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad turut menyatakan hasrat The Bos Gaurus untuk mendapatkan penyerang sensasi negara yang sekarang berpengkalan di Thailand bersama dengan kelab Thailand Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri Md Fauzi.

“Sebelum bercuti, Durakovic ada memberitahu mengenai Faris dan ingin mendapatkan pemain itu bagi kuota import ASEAN, memang Faris kini berada dalam radar pasukan.

“Nama Shahrel juga berada dalam senarai namun kini PAFA mahu menyelesaikan dahulu kontrak untuk pemain-pemain yang dikekalkan sebelum membawa masuk pemain baharu,” katanya kepada media NSTP.

Sebelum ini, beliau telah memberitahu kepada media bahawa PAFA akan menggugurkan enam pemain atau 15 peratus skuad Perak yang memenangi Piala Malaysia baru-baru ini. Pemain yang akan digugurkan adalah dua pemain import yang tidak menunjukkan aksi yang konsisten iaitu, Misagh Bahadoran daripada Filipina dan pemain pertahanan Lubnan, Jad Noureddine.

Selain daripada itu, beliau juga turut mengulas lanjut mengenai ura-ura mengatakan bahawa bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi bakal menyarung jersi The Bos Gaurus musim depan.

“Memang kita ada menerima data peribadi mengenai pemain itu (daripada ejen) dan PAFA belum membuat sebarang keputusan kerana menyerahkan perkara itu kepada Durakovic untuk memutuskannya.

“Cuma yang saya boleh sahkan hanya Faris dan Shahrel kerana kedua-dua pemain itu disebutkan sendiri oleh Durakovic, PAFA menyerahkan keputusan mengambil pemain kepada Durakovic kerana dia lebih arif,” katanya kepada NSTP.