Malaysia Berita

Hafizul Luah Hasrat Mahu Bermain Di Liga Luar Negara

Penjaga gol Perak, Hafizul Khairul Nizam Johty yang beraksi cemerlang buat skuad Perak pada musim ini tidak menolak kemungkinan akan menerima pelawaan untuk beraksi di liga luar negara.

Beliau yang beraksi cemerlang pada final Piala Malaysia ketika menentang Terengganu akan memikirkan segala perancangan untuk musim hadapan selepas kempen Piala AFF Suzuki 2018. Tambahan pula, kontrak beliau dengan Perak akan tamat pada bulan ini.

Pemain berusia 25 tahun itu juga memberitahu media bahawa beliau ada didatangi oleh beberapa orang ejen bernyatakan hasrat untuk membawa beliau ke liga Thailand.

“Ada ejen pemain datang berjumpa dan tanya sama ada saya berminat untuk bermain dengan kelab di Thailand dan saya menyatakan yang saya berminat namun saya tidak menganggap itu sebagai tawaran lagi.”

“Saya masih belum membuat sebarang keputusan lagi kerana sekarang sedang fokus menghadapi Piala AFF dan keputusan akan dibuat selepas berakhirnya kejohanan ini,” katanya yang sedang bersama skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF 2018.

Beliau juga turut mengakui ada menerima beberapa tawaran daripada kelab dan persatuan negeri, tetapi tidak mahu mendedahkan dengan lebih lanjut.

“Memang ada tawaran dari pasukan lain namun tidak boleh mendedahkan nama pasukan itu dan seperti saya katakan yang saya masih belum membuat sebarang keputusan sama ada kekal dengan Perak atau sebaliknya,” katanya kepada Berita Harian.