Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Jurulatih Laos Harap Tuah Bukit Jalil

Sundramoorthy adalah individu yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia mengharapkan tuah Stadium Bukit Jalil apabila beliau akan turun dalam misi memburu kemenangan ke atas Malaysia.

Beliau yang menguruskan pasukan Laos adalah antara individu penting yang membawa skuad Lions XII memenangi Piala FA selepas berjaya mengejutkan pasukan pilihan, Kelantan pada perlawanan akhir di Bukit Jalil.

Jurulatih daripada Singapura ini juga adalah antara individu yang pernah menjadi jurulatih pasukan Negeri Sembilan di kancah Liga Super.

Beliau akan turun bersama anak buahnya dalam misi memburu kemenangan pertama selepas ditundukkan oleh Vietnam dengan jaringan 0-3 pada aksi pembukaan Kumpulan A di Vietiane, Laos.

“Saya masih ingat memori itu sampai sekarang. Sudah tentu saya harap tuah stadium ini (Stadium Nasional Bukit Jalil) dapat membantu kami (Laos) meraih kemenangan.

“Namun semuanya terletak di tangan pemain apabila turun beraksi nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Beliau turut mengulas bahawa anak buahnya akan turun untuk memburu kemenangan walaupun dilabel bukan pasukan pilihan pada perlawanan bertemu Harimau Malaya, hari ini.

“Setakat ini kami berada pada tahap terbaik walaupun tewas kepada Vietnam. Bagi saya, Vietnam adalah pasukan pilihan dan begitu juga dengan Malaysia.

“Walaupun bukan pasukan pilihan, sudah tentu kami berharap kami mampu menang. Kami sedar kemampuan kami. Harapan kami memang tinggi untuk mendapatkan tiga mata.

“Kami perlukan mata untuk memperbaiki kedudukan selepas berada di posisi terbawah kumpulan. Walaupun beraksi di gelanggang lawan, tetapi kami tetap yakin tiada perkara yang mustahil (untuk menang),” katanya kepada Berita Harian.