Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Khairul Fahmi Ingatkan Rakan-Rakan Untuk Fokus

Penolong Kapten skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mengingatkan kepada rakan sepasukan agar tidak mendabik dada serta hilang fokus biarpun Malaysia dilabel pasukan pilihan ketika menerima kunjungan Laos pada perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Bukit Jalil, hari ini.

Beliau yang berasal daripada Kelantan turut memberitahu kepada media bahawa setiap pasukan yang bertanding di Piala AFF Suzuki edisi 2018 mempunyai kekuatan masing-masing dan mampu untuk mencipta kejutan.

Oleh itu, beliau mengingatkan kepada rakan sepasukan agar tidak terlalu selesa dan berharap rakan-rakannya yang bakal diturunkan nanti mencari tiga mata penuh untuk Malaysia berada di kedudukan selesa.

“Kita turun untuk tiga mata pada perlawanan esok. Kita akan beraksi di stadium sendiri, jadi kami akan beraksi dengan yakin, tetapi jangan terlampau yakin.

“Laos mungkin boleh membuat kejutan. Jadi kita kena fokus sepenuhnya,” katanya pada Berita Harian.

Malaysia yang berada dikedudukan selesa setelah menang 1-0 keatas Kemboja mahu meneruskan rentak kemenangan bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Pertemuan dengan Laos adalah pertemuan yang wajib menang bagi memberi laluan selesa buat skuad Harimau Malaya yang akan berhadapan dengan Vietnam dan Myanmar, pencabar terdekat bagi Kumpulan A.

“Untuk pastikan kita lebih bersedia menentang Vietnam dan Myanmar, kita mesti lepas (menang) dengan Laos.

“Saya percaya rakan-rakan sudah bersedia untuk memberikan 100 peratus dalam perlawanan malam esok,” katanya kepada Berita Harian.