Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Tan Cheng Hoe Bakal Rombak Bahagian Serangan

Ketua jurulatih skuad kebangsaan menyatakan bakal membuat rombakan pada bahagian serangan Malaysia ketika skuad negara akan menerima kunjungan Laos pada perlawanan kedua Kumpulan A dalam kempen Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyuarakan kebimbangan pada bahagian serangan Malaysia apabila ketiadaan pemusnah yang mampu untuk menggunakan peluang bagi menjaringkan gol.

Malaysia yang hanya mampu menang tipis ke atas Kemboja pada aksi pertama Kumpulan A yang lalu akan turun dengan beberapa pertukaran di bahagian serangan.

“Ia saya akan buat sedikit pertukaran memandangkan kelemahan kita di serangan agak ketara ketika aksi pertama. Mungkin ia (rombakan) membabitkan pertukaran pemain atau perubahan posisi pemain, itu kita kena tunggu malam esok.

“Saya mahu pasukan gunakan kesempatan beraksi di laman sendiri dengan sebaik-baiknya dan memburu seberapa banyak gol, sebelum kita berdepan pasukan kuat Vietnam dan Myanmar,” katanya kepada Berita Harian.

Skuad negara dilihat bergelut untuk menjaringkan gol pada perlawan bertemu Kemboja tempoh hari apabila hanya mampu menang 0-1 ke atas tuan rumah hasil jaringan minit ke-30 oleh penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha.

Bekas jurulatih Kedah ini juga mengingatkan kepada anak buahnya supaya terus fokus dan konsisten daripada minit awal perlawanan sehingga tiupan wisel yang terakhir. 

Beliau menambah bahawa pemain harus cepat menyesuaikan diri bagi membolehkan mereka bermain sebagai satu pasukan.

“Pasukan perlu fokus dan konsisten sejak minit awal hingga akhir permainan. Kita tidak boleh memandang mudah cabaran Laos yang mampu menghukum pasukan jika kita leka,” katanya kepada Berita Harian.