Piala Malaysia Berita

Tiket Aksi Final Piala Malaysia Mula Dijual Khamis Ini

Bahang final Piala Malaysia 2018 kian terasa diantara Terengganu FC (TFC) dengan Perak yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim mengumumkan jualan tiket akan bermula Khamis ini dengan 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada penyokong skuad Penyu.

“Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia akan dijual pada Khamis ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kaunter jualan tiket akan mula dibuka pada jam 10 pagi hingga habis pada hari berkenaan dengan RM50 bagi dewasa manakala bagi kanak-kanak RM10 dan hanya lima keping tiket dibenarkan bagi setiap peminat.

“Bagi penyokong yang jauh pula, mereka boleh membelinya secara dalam talian yang diuruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebanyak 10,000 keping,” kata Hishamuddin ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau menambah kejayaan TFC untuk mara ke perlawanan akhir pasti akan membangkitkan semangat penyokong yang dahagakan aksi di final setelah kali terakhir berbuat demikian adalah pada tahun 2011.

Beliau juga berharap agar kehadiran 30,000 penyokong pada aksi final nanti pasti akan menaikkan semangat motivasi pasukan.

“Kami harap kehadiran lebih 30,000 penyokong pada aksi final nanti mampu menyuntik lagi motivasi pemain untuk menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi pada 2001.