Malaysia Berita

Saya Percaya Pada Pilihan Saya – Tan Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe, jurulatih skuad kebangsaan percaya pada kemampuan 26 pemain yang dipilih bagi menghadapi Maldives, 3 November depan.

Tambah beliau lagi, kesemua 26 pemain pilihannya adalah yang terbaik bagi posisi masing-masing serta menepati corak permainan yang bakal beliau terapkan dan berharap pemain yang tidak dipilih agar tidak merasa diri mereka tidak bagus tetapi perlu menunjukkan kerja keras yang tinggi jika mahu diberi peluang.

Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, “Setiap jurulatih ada perancangan tersendiri, begitu juga saya apabila saya memanggil 26 pemain untuk persediaan kerana saya sudah ada bayangan pemain untuk ke Piala AFF 2018.

“Saya kira mereka pemain terbaik bagi setiap posisi yang diperlukan dan sesuai dengan taktikal serta corak permainan yang akan saya terapkan.

“Ini bukan bermakna pemain yang tidak terpilih itu tidak bagus, jadi saya harap mereka akan terus bekerja keras kerana saya sedia memberi peluang kepada mereka untuk menyertai tugasan antarabangsa selepas ini,” katanya.

Cheng Hoe berkata demikian ketika mengulas persoalan pengkritik dan peminat bola sepak yang mempersoalkan tindakan beliau tidak memanggil beberapa pemain yang menyerlah sepanjang musim ini.

Daripada senarai skuad negara yang akan berdepan Maldives, seramai 18 pemain dari skuad 23 pemain ketika aksi persahabatan bertemu Republik Kyrgyz di Melaka, 16 Oktober lalu telah dikekalkan Cheng Hoe.

Cheng Hoe telah memanggil lapan pemain baharu terdiri daripada enam pemain JDT – penjaga gol Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri serta Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).

Senarai akhir 23 pemain terakhir hanya akan diumumkan Cheng Hoe selepas perlawanan menentang Maldives sekali gus menyaksikan tiga pemain digugurkan.