Malaysia Berita

Selangor Nafi Bergelut

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menegaskan bahawa pelantikan Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal tidak perlu dipertikaikan sebaliknya menyeru agar semua pihak memberi kerjasama dalam usaha melaksanakan transformasi persatuan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, perlantikan dua naib presiden tersebut sah dan mengikut pelembagaan serta pelantikan ini adalah cadangan Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj pada 10 Julai lalu.

“Untuk makluman semua, dakwaan tersebut adalah tidak benar. Sebagai contoh, dua naib presiden yang dilantik pada 10 Julai yang lalu, Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon sudah menjadi ahli di dalam kelab gabungan yang sah di bawah FAS. 

“Kami mempunyai bukti yang secukupnya untuk menyangkal dakwaan ini. Tambahan, kenyataan yang disebarkan tidak ditandatangani oleh sesiapa dan tidak mempunyai sebarang sumber.

“Malangnya, terdapat dalang-dalang di dalam FAS yang hendak menentang usaha-usaha ke arah mentransformasikan persatuan kesayangan ramai ini, memecahbelahkan kita dan menjejaskan kestabilan FAS.

“Pihak FAS sedang menjalankan siasatan terhadap kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap dalang-dalang di belakangnya,” katanya.

Sebelum ini, tersebar satu kenyataan media yang didakwa datang daripada ahli gabungan FAS apabila mempertikaikan perlantikan dua naib presiden dan memohon supaya satu Kongres Luar Biasa diadakan dalam tempoh terdekat.

Gerakan yang diketuai Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff mendakwa, pelantikan Izhar dan Dr Johan tidak sah kerana mereka bukan ahli gabungan FAS selain turut mengenepikan suara dan peranan ahli.

Malah, Roslin mengesahkan seramai 67 dari 96 kelab gabungan FAS sudah menyerahkan permohonan agar mengadakan Kongres Luar Biasa bagi membolehkan pelantikan semula Exco yang akan dapat memantapkan pengurusan FAS dibuat secara sah mengikut perlembagaan.