Malaysia Berita

Zaquan Harap Sumareh Bersinar

Kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Razak meluahkan rasa teruja dengan kehadiran Mohamadou Sumareh yang bakal membantu skuad Harimau Malaya pada Kejohanan AFF Suzuki 2018, bulan depan.

“Penyertaaan Sumareh memberi impak besar terhadap prestasi negara, tambahan pemain sayap Pahang itu bakal mewarnai corak permainan positif pasukan negara,” kata Zaquan.

“Saya yakin Sumareh mampu untuk bertindak cemerlang dengan menyumbang sesuatu buat pasukan negara di AFF kelak.”

Skuad kebangsaan akan turun berdepan Sri Lanka di Colombo Sabtu ini dan Kyrgyzstan (16 Oktober) di Stadium Hang Jebat, Melaka dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Zaquan, pemain Johor Darul Ta’zim memberi bayangan bahawa perlawanan akan menjadi sengit berikutan lawan dilihat memilik kekuatan seimbang dan kelebihan daripada pelbagai aspek.

“Justeru, fokus dan persefahaman jitu amat diperlukan dalam dua ujian ini, tambahan pula kita berlatih dalam tempoh yang singkat, jadi pemain perlu pantas menyesuaikan diri.

“Sedikit merisaukan adalah kecergasan membabitkan pemain daripada pasukan yang tidak layak ke separuh akhir Piala Malaysia, berbanding (pemain) yang kini berada di pentas saingan itu,” katanya.

Bagaimanapun Zaquan berkata, sebagai pemain kebangsaan mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kecergasan lebih tinggi.