Malaysia Berita

Kedah Lantik Jurulatih Dari Singapura

Aidil Sharin Sahak, bekas jurulatih Home United Singapura, diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengendali skuad Helang Merah bagi saingan Liga Super musim hadapan.

Datuk Seri Mukhriz, Presiden KFA, turut mengumumkan bekas pemain Kedah dan juga bekas jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong jurulatih.

“Kami akan menandatangani kontrak dengan kedua-dua jurulatih itu dalam masa terdekat. Buat masa ini kami sedang menyelesaikan beberapa rundingan akhir sebelum mereka boleh memulakan tugas, ” katanya pada sidang media selepas mempengeruskan Mesyuarat Majlis Eksekutif KFA di Wisma Darul Aman, di sini.

Sebelum ini, skuad Helang Merah dikendalikan oleh Ramon Marcote diawal musim sebelum beliau direhatkan daripada jawatan berkenaan dan digantikan dengan Mohd Nizam Adzha. Namun Nizam juga mengalami nasib yang sama apabila direhatkan daripada jawatan berkenaan selepas aksi yang kurang memberangsangkan sepanjang kempen Piala Malaysia.

Mukhriz yang juga Menteri Besar, percaya bahawa Aidil dan Victor akan membawa kejayaan kepada Kedah serta akan menjadi langkah pertama dalam usaha pembaharuan skuad Helang Merah.

“Ketua jurulatih yang baharu ini akan diberi mandat sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan termasuk memilih dan mencadangkan barisan pemain baharu termasuk pemain import dan yang sedia ada,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak KFA juga membuka permohonan secara terbuka bagi jawatan pengurus pasukan kepada golongan profesional sepenuh masa dengan menghantar permohonan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.