Piala Malaysia Berita

Jelius Ating Salahkan Isu Gaji Jadi Punca Sabah Tewas

“Pemain Sabah tidak menunjukkan karakter sebenar seperti dalam perlawanan sebelum ini hingga mampu mara ke separuh akhir.” Kata pengendali Sabah, Jelius Ating selepas pasukannya dibelasah teruk oleh Perak.

Beliau tidak menolak bahawa antara punca anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar adalah disebabkan gaji tertunggak sebelum menambah persembahan anak buahnya tidak seperti perlawanan ketika bertemu Selangor dan Pahang.

“Kami pernah bertemu Selangor dan juga Pahang dan berjaya menumpaskan mereka tetapi malam ini (semalam) mereka tidak menunjukkan persembahan sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, jurulatih itu berkata, dia sudah berusaha memberi kata-kata motivasi kepada anak buahnya tetapi ternyata tidak membuahkan hasil apabila anak buahnya beraksi longlai.

“Mungkin (isu gaji) ada kesan. Mereka manusia dan tidak dapat lari daripada memikirkan masalah dihadapi,” katanya

Beliau yang kecewa dengan keputusan perlawanan itu sedar skuad Badak mempunyai tugas amat getir apabila turun dalam perlawanan kedua pada 21 Oktober ini biarpun bermain di gelanggang sendiri.

“Bukan senang hendak atasi lima gol . Tugas mustahil kerana Perak ternyata pasukan hebat. Jika tumpas satu dua gol mungkin ada peluang lagi.

“Apapun kami akan lakukan yang terbaik demi maruah dan imej Sabah dalam pertembungan di Stadium Likas nanti, ” katanya.