Liga Super Malaysia

Malaysia Adalah Rumah Saya – Sumareh

Mohamadou Sumareh, pemain kelahiran Gambia akan menjadi pemain naturalisasi pertama negara setelah di panggil oleh pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Sumareh yang telah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan bekas penuntut Sekolah Antarabangsa Maz dan Kolej Segi itu merasakan terhutang budi kepada negara ini walaupun keputusannya itu dianggap tidak popular di negara asalnya Gambia.

Beliau berkata, panggilan Harimau Malaya adalah satu keputusan sukar untuk ditolak dan atas dasar budi, beliau berbesar hati untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Jurulatih kebangsaan (Gambia) selalu menyokong karier saya dan beliau tidak berang dengan keputusan ini. Memang terdapat persoalan mengapa saya tidak memilih beraksi untuk negara sendiri, tapi Malaysia. Jawapannya adalah kerana saya bangga untuk menyatakan negara ini sebagai rumah saya,” kata Sumareh.

Beliau yang pernah beraksi bersama PDRM pada 2013 nyata sedikit tertekan sejak namanya diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan.

“Saya merasakan lebih tertekan kerana orang kini lebih mengenali saya apabila berada di tempat awam dan ada yang menjelaskan sudah tidak sabar untuk melihat aksi saya.

“Jadi, saya perlu membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya boleh beraksi baik. Ia adalah gila,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan isu kerakyatannya, pemain sayap Pahang itu merasakan ia sengaja diperbesarkan bagi menjatuhkan kariernya.

“Semuanya OK (dari segi kerakyatan), hanya ada pihak yang tidak memahami sangat mengenainya dan sengaja mahu menjatuhkan saya.

“Saya gembira, seluruh negara gembira. Jadi, mengapa mereka sengaja mahu menjatuhkan saya?”

Sumareh ketika ini sedang berada di Melaka bagi mengkuti kem latihan pasukan kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.