Malaysia Berita

Luqman Menang Anugerah, Ubat Duka Skuad B-16 Negara

Luqman Hakim Shamsudin, pemain bawah 16 (B-16) tahun negara menjadi pengubat duka skuad B-16 negara yang teringkir awal dari kejohanan itu apabila merangkul anugerah penjaring terbanyak kejohanan bawah 16 (B-16) tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)

Skuad B-16 yang tersingkir di peringkat kumpulan serta gagal mencapai sasaran utama untuk layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan selepas hanya mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan.

Tetapi, anugerah yang diterima Luqman semalam sedikit sebanyak dapat membanggakan negara apabila beliau muncul pemain pertama negara memenangi anugerah berkenaan pada kejohanan B-16 peringkat Asia.

Anak muda kelahiran Kelantan ini tidak menyangka yang beliau akan memenangi anugerah ini biarpun hanya beraksi dua perlawanan di peringkat kumpulan.

“Saya rasa bangga buat pertama kali dapat anugerah penjaring terbanyak dalam kejohanan besar seperti ini. Ia hadiah buat pasukan dan seluruh penyokong bola sepak Malaysia.

“Diharapkan hadiah ini sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan semua pihak selepas kami tersingkir awal di peringkat kumpulan dan ia sudah semestinya menjadi motivasi untuk kerjaya masa depan saya,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Luqman berkongsi lima gol bersama pemain Jepun, Shoji Toyama dan penyerang Australia, Noah Botic di kedudukan teratas carta penjaring.