Luar Negara Berita

Beri Kami Masa – Gattuso

Pemain tengah Sepanyol, Suso, menjaringkan dua gol untuk mengakhiri kemarau kemenangan ketika AC Milan bangkit menang 4-1 setelah tiga kali seri dalam perlawanan liga sebelum ini.

Manakala Juventus telah mengekalkan rentak kemenangan mereka yang sempurna untuk musim ini dengan kemenangan 3-1 ke atas Napoli. Juventus, dengan 21 mata selepas tujuh perlawanan, berada enam mata di hadapan pasukan Carlo Ancelotti.

AC Milan perlu menang untuk mendekatkan mata dengan pesaing mereka, Inter Milan yang berada di tempat keempat, selepas menang 2-0 ke atas Cagliari. Manakala Roma, di tangga kelapan, selepas menang 3-1 ke atas Lazio.

“Keputusan ini dapat membantu kami memperoleh keyakinan,” kata jurulatih Milan, Gennaro Gattuso.

“Apabila anda memakai jersi Milan dan bekerja di kelab hebat seperti ini yang ingin kembali ke puncak, pastinya ada tekanan.

“Orang ramai tidak begitu berminat dengan beberapa keputusan kami, tetapi saya tahu pasukan ini telah berjanji untuk bangkit dan hanya memerlukan sedikit masa untuk berkembang.”

Suso menjaringkan gol liga pertamanya sejak Februari lalu, lima minit selepas separuh masa kedua bermula. Manakala Ivorian Franck Kessie telah meletakkan Milan di depan dengan larian solo pada minit ke-39.

Samu Castillejo meneruskan rentak cemerlang Milan selepas meledakkan gol ke tiga pada minit ke-60 sebelum Filip Djuricic menjaringkan gol saguhati untuk tuan rumah.

Suso mendapat gol keduanya pada minit-minit akhir perlawanan.