Malaysia Berita

Saya dan FAM seru penyokong membanjiri stadium – Datuk S Sivasundram

Pengurus skuad Malaysia B-16, Datuk S Sivasundram menyeru penyokong bola sepak Malaysia untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), petang ini untuk memberikan sokongan kepada pemain remaja negara dalam misi ke Piala Dunia B-17 FIFA.

Beliau bagaimanapun optimis akan kemampuan anak buah Lim Teong Kim untuk mencatatkan kemenangan pada perlawanan kedua ini namun beliau tetap berharap penyokong-penyokong memenuhi SNBJ.

“Saya yakin kita boleh tewaskan Thailand kalau pemain kekalkan fokus seperti berdepan Tajikistan. Cuma saya dan pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menyeru penyokong membanjiri stadium esok.”

Dengan mengambil contoh bagaimana pasukan Indonesia B-16 yang menampilkan aksi bersemangat apabila penyokong hadir memberikan semangat dan sokongan sehingga mereka mampu menjulang Kejuaraan AFF B-16 pada bulan lalu.

Oleh itu, beliau percaya bahawa anak buah Lim Teong Kim akan memberikan aksi yang sama dengan sokongan padu para penyokong.

“Kita lihat ketika Indonesia menjadi tuan rumah Kejohanan B-16 pada bulan lalu, peminat mereka memenuhi stadium dan kita harap penyokong Malaysia pun dapat memberi sokongan penuh kepada pasukan.”

“Saya percaya dengan sokongan padu penyokong, pemain Malaysia dapat mempamerkan aksi yang lebih mantap dan bersemangat,” katanya.