Malaysia Berita

Tiada tekanan, kami akan lakukan yang terbaik – Hariz Mansor

Hari ini, skuad remaja Malaysia akan turun menentang Thailand B-16 dalam aksi kedua Kumpulan A, Kejohanan AFC B-16.

Malaysia B-16 sebelum ini berjaya bermula dengan langkah kanan apabila menundukkan Tajikistan 6-2 pada hari khamis lalu.

Dan kini, anak buah Lim Teong Kim menungguli kumpulan A dan kemenangan ke atas Thailand pada petang ini akan mencerahkan peluang untuk mara ke saingan suku akhir.

Oleh itu, kapten pasukan Malaysia B-16, Muhammad Hariz Mansor menggesa rakan sepasukan tidak mengulangi beberapa kesilapan mudah seperti yang dilakukan tempoh hari dan melakukan yang terbaik untuk perlawanan hari ini.

Pada masa yang sama, Hariz juga sedar bahawa Thailand bukanlah calang-calang pasukan dan mereka seharusnya menghormati mereka.

“Sudah pasti rakyat Malaysia mahukan keputusan yang baik daripada kami. Mereka juga mengharapkan kami layak ke Piala Dunia B-17 tahun depan. Jadi kami perlu cuba lakukan yang terbaik.”

“Kami sudah empat tahun berjuang dan berkorban untuk melakukan persiapan bagi memburu tiket ke Piala Dunia, jadi peluang ini tidak boleh disia-siakan.”

“Thailand juga bukan pasukan mudah dan kami menghormati mereka. Apa yang penting kami perlu tampil dengan aksi lebih mantap dan kesilapan yang dilakukan ketika berdepan Tajikistan dijadikan sebagai pengajaran,” katanya.

Empat pasukan terbaik dalam kejohanan ini akan mendapat slot automatik untuk ke saingan Piala Dunia B-17 FIFA yang akan berlangsung di Peru pada tahun hadapan.

Bercakap soal tersebut, kapten pasukan juga menjelaskan bahawa tiada tekanan untuk mereka menghadapi perkara tersebut dan ketua jurulatih mereka, Lim Teong Kim hanya mahukan mereka melakukan yang terbaik untuk setiap perlawanan.

“Kami tiada tekanan, jurulatih pun hanya mahukan kami melakukan yang terbaik. Jadi, kami akan beraksi seperti biasa dengan mengambil serius setiap perlawanan,” katanya.