Ketua jurulatih Malaysia B-16, Lim Teong Kim percaya anak didiknya mampu menghadirkan tiga mata pertama dalam aksi pembukaan bertemu Tajikistan pada petang esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sekiranya skuad B-16 negara berjaya melakukannya, peluang Malaysia untuk mara ke saingan kalah mati dilihat lebih cerah kerana perlawanan kedua dan ketiga Kumpulan A menentang Thailand dan Jepun dijangka lebih sengit bagi mengisi kedudukan dua teratas.
Beliau menyifatkan bahawa 16 pasukan dalam kejohanan AFC B-16 ini adalah yang terbaik dan setiap daripadanya memiliki kelebihan tersendiri termasuk juga Malaysia.
Tambahnya, beliau cukup optimis bahawa anak buahnya mampu mengalahkan pasukan Tajikistan walaupun belum pernah bertemu dengan mereka sebelum ini. Namun, Teong Kim menegaskan, pemain-pemain perlu menyudahkan peluang yang terhidang untuk merealisasikan perkara tersebut.
“Semua pasukan yang layak ke pusingan akhir Kejohanan ini adalah terbaik dan sudah tentu masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.”
“Bagi saya, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan pertama itu, tambahan pula kita tidak pernah bertemu sebelum ini.”
“Namun berdasarkan video perlawanan mereka di peringkat kelayakan AFC tempoh hari, saya yakin kita boleh melepasi halangan itu dengan syarat pemain perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang,” katanya.
Pada pusingan kelayakan, Tajikistan yang diletakkan dalam Kumpulan B telah berjaya muncul sebagai juara kumpulan. Mereka menang kesemua perlawanan dengan mengalahkan Oman, Syria dan Maldives.
Manakala Malaysia pula menjadi naib johan Kumpulan J dibelakang Jepun dengan mencatatkan dua kemenangan ke atas Singapura dan Guam. Walaubagaimanapun, Malaysia kalah ditangan Jepun dan hanya mengumpul 6 mata.