Malaysia Berita

Tulis Guna Fakta, Bukan Emosi – Tunku Ismail

Pemilik kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim , Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali oleh rakyat dan penyokong Johor  sebagai Tunku Mahkota Johor menasihati kesemua wartawan agar tidak cuai dan berat sebelah.

Terdahulu, satu laporan media bertajuk, Jenalti Jadikan JDT Pasukan Istimewa tulisan Syafiq Aznan telah melaporkan bahawa dalam empat perlawanan Liga Super, JDT sudah ‘dihadiahkan’ empat kali sepakan penalti.

Justeru, Tunku Ismail mengingatkan kepada kesemua wartawan agar melaporkan mengikut fakta, bukan emosi dimana ia juga perlu diikuti dengan rasa adil dan saksama dalam membuat laporan.

“Wartawan seharusnya menulis berdasarkan fakta, bukan emosi.” Kata Tunku Mahkota Johor di dalam laman rasmi Johor Southern Tigers.

“Mereka perlu berlaku adil dan memberi ulasan sama rata antara pasukan, bukannya menulis seperti penyokong kepada pasukan lawan. Malangnya, ini bukanlah sedemikian bagi sesetengah orang di Malaysia.”

Beliau juga mempersoalkan tahap pemahaman penulis tersebut.

“Adakah penulis tidak memahami bola sepak sehingga tidak dapat membezakan antara keputusan yang betul dan salah oleh pegawai perlawanan?”

Setakat ini dalam empat perlawanan, JDT hanya gagal menjaringkan satu sepakan penalti ketika bertemu Terengganu. Mereka mula mendapat sepakan penalti ketika bertemu Kuala Lumpur, Terengganu FC dan terbaru adalah Melaka United.

Tetapi bagi pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail mempertahankan tindakan para pengadil kerana bagi beliau, mereka adalah orang yang paling memahami peraturan bola sepak.

“Saya akui bahawa salah satu daripada sepakan penalti sewaktu menentang Terengganu mungkin dilabelkan ‘soft’, tetapi mereka yang memahami peraturan bola sepak akan bersetuju bahawa untuk sepakan penalti yang lain, sememangnya ia perlu diberikan kepada JDT.” Katanya.