Malaysia Berita

Perlis Disaran Mula Dari Bawah

Legenda bola sepak negara, Abdul Rahman Ibrahim menggesa Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) merancang untuk memulakan Liga Malaysia bermula dari bawah selepas penyertaan mereka dalam Liga Premier musim ini dibatalkan.

Jelas Rahman yang pernah membimbing Perlis pada 2005 sehingga 2007, beliau menyifatkan jaminan PFA untuk bermain di Liga Premier musim ini tampak tipis biarpun mengemukakan rayuan kepada Malaysian Football League (MFL) gara-gara dihimpit masalah kewangan serius.

Katanya, isu kewangan sentiasa menjadi subjek utama terutama melibatkan pasukan negeri seperti Perlis yang sebelum ini mendapat bantuan daripada kerajaan negeri dan kos bermain di Liga Premier lebih besar jika dibandingkan era beliau melatih skuad Singa Utara.

Justeru, bekas jurulatih kebangsaan ini menganggap jalan terbaik Perlis adalah memulakan perjalanan baharu dengan bermain di M3 jika rayuan mereka untuk terus kekal di Liga Premier ditolak oleh MFL.

“Sejak daripada zaman saya dahulu lagi, dana kewangan Perlis tidak sehebat seperti pasukan-pasukan negeri lain. Ketika itu, pasukan Perlis dibantu oleh kerajaan negeri dan jika kita melihat masa kini, kos semakin meningkat apatah lagi Perlis tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri.

“Saya fikir bermula dari bawah balik (bermain di M3) adalah fokus baharu PFA. Mulakan dengan pasukan mengikut kewangan yang sedia ada dan mungkin masalah menanti mereka jika terus bermain di Liga Premier memandangkan mereka sendiri ada masalah kewangan.

“Jadi, tidak salah buat Perlis bermula dari bawah dan mulakan perjalanan baharu kerana saya percaya Perlis mampu membuat penampilan kembali di Liga Premier pada masa akan datang jika ada perancangan lebih teratur dan teliti,” katanya.

Terdahulu, MFL telah memberikan tempoh tujuh hari kepada PFA untuk mengemukakan rayuan selepas penyertaan mereka dalam kempen Liga Malaysia musim ini dibatalkan pada 20 Februari lalu.

Menerusi keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL, penyertaan Perlis dalam aksi Liga Premier dibatalkan selepas mendapati skuad Singa Utara itu tidak memiliki kewangan kukuh untuk mengharungi musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Bagaimanapun MFL memberikan kelonggaran melanjutkan tarikh pendaftaran buat pemain Perlis untuk tempoh 30 hari bagi mengintai pasukan baharu memandangkan tarikh perpindahan pemain ditutup pada 20 Februari lalu. – MFL