Liga Super Malaysia Berita

JDT jelaskan makna disebalik video pelancaran jersi baharu 2020

JDT akhirnya memperkenalkan jersi baharu musim 2020 yang dinanti-nantikan oleh peminat selama ini.

JDT akan menggunakan jersi home berwarna merah dan biru iaitu warna melambangkan bendera Johor, manakala jersi away berwarna putih adalah simbolik kepada stadium baharu JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim.

Namun berbanding musim-musim sebelum ini, JDT tidak memaparkan sebarang logo penaja di bahagian hadapan jersi, bertujuan untuk menunjukkan bahawa JDT mampu mencapai nilai sehingga RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Namun, video pelancaran jersi baharu JDT masih menimbulkan tanda tanya peminat mengenai mesej sebenar di sebaliknya.

Pengendali kandungan laman sesawang rasmi JDT, Vijhay Vick tampil menjelaskan maksud video tersebut menerusi akaun Twitternya.

“Arizona, Amerika Syarikat adalah simbolik kepada rekaan terbaru jersi Nike JDT dan memaparkan Harimau Selatan sebagai jenama antarabangsa yang berkembang dengan begitu pantas melangkaui pasaran domestik.

“Kehadiran wanita asing dan pengiktirafan lencana JDT menunjukkan JDT merupakan sebuah entiti yang dikenali di peringkat antarabangsa dan kelab ini lebih besar daripada individu, sehingga mampu menarik perhatian mana-mana pihak.”

Pasukan JDT dijangka akan menggunakan jersi baharu seawal saingan AFC Champions League 2020 menentang Vissel Kobe pada 12 Februari ini.