Malaysia Berita

FAM Beri Keutamaan Kepada Ong Kim Swee

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi keutamaan kepada pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23), Ong Kim Swee dalam pemilihan pemain yang bakal beraksi pada kelayakan Kejuaran AFC B-23.

Sebelum ini wujud persoalan skuad mana yang bakal diutamakan dalam perebutan pemain apabila skuad senior kendalian Tan Cheng Hoe bakal beraksi di Piala Airmarine membabitkan Kepulauan Solomon, Singapura dan Oman pada 20 hingga 23 Mac manakala skuad Kim Swee akan berdepan tugas getir pada 22 hingga 26 Mac.

“Kim Swee ada minta supaya pemain B-23 dilepaskan. Jangan ‘sentuh’ pemain B-23 sebab kita mahukan skuad terbaik menghadapi pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 nanti.

“Kita nampak situasi itu dan sudah beritahu Cheng Hoe supaya memilih pemain lain. Lagi pun kita memiliki ramai pemain berusia lebih 23 tahun yang mampu disenaraikan dalam pasukan (Harimau Malaya),” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Apa yang merisaukan peminat negara ketika ini adalah dengan isu keenggana pasukan atau kelab melepaskan pemain.

Pada kejohanan AFF di Kemboja minggu lalu, Ong Kim Swee berdepan misi sukar apabila gagal menyenaraikan lima tonggak utama disebabkan pasukan atau kelab tidak mahu melepaskan pemain mereka.

“Saya tidak nampak akan ada pasukan yang enggan melepaskan pemain kerana ketika itu tidak ada perlawanan (aksi liga). Agak mustahil jika ada pasukan mahu ‘simpan’ pemain hanya untuk latihan saja.

“Tetapi kalau itulah jawapan pasukan, ia satu yang malang buat bola sepak negara,” katanya.