Malaysia Berita

Tiada Layanan Istimewa Buat JDT – Pengerusi Jawatankuasa Pengadil

Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menerima empat sepakan penalti dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super sehingga mendapat ‘gelaran’ Jenalti oleh penyokong bola sepak tempatan.

Berikutan daripada penalti yang diperoleh ketika bertemu Melaka United, Kuala Lumpur dan Terengganu FC (TFC), pasukan JDT dilihat seperti mendapat ‘ihsan’ daripada pengadil.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid tampil menjelaskan bahawa sepakan penalti yang diberikan kepada JDT adalah bersikap adil dimana berlaku terjahan di dalam kotak penalti.

“Saya sudah siasat mengenai perkara itu dan setakat ini pengadil yang mengadili perlawanan terbabit mengambil keputusan betul berdasarkan kekasaran dilakukan pemain lawan di dalam kotak penalti,” katanya kepada Harian Metro.

“Istilah hadiah bagi sepakan penalti adalah tidak munasabah kerana keputusan itu sebenarnya adalah hukuman kepada kesalahan yang dilakukan oleh pemain.

“Setiap perlawanan yang menimbulkan keraguan akan disiasat secara terperinci namun setakat ini keputusan pengadil memberikan sepakan penalti adalah wajar dan jelas ada kesalahan dilakukan pemain,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ismail mempersoal satu laporan media yang melaporkan layanan ‘istimewa’ pegawai pengadil kepada kelab daripada selatan tanah air tersebut.