Malaysia Berita

Seleweng Duit dan Tipu Kontrak, Pemain Perlis Buat Laporan Polis

Satu laporan polis berhubung penipuan kontrak dan penyelewengan wang pemain telah dibuat oleh bekas kapten Perlis Northern Lion 2 (PNL2), Ezzrul Imanizar Abd Rahman terhadap Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Beliau yang mewakili 17 pemain lain membuat laporan polis terhadap Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan Timbalannya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

Mereka rasa ditipu oleh oleh dua individu ini apabila mengetahui selama mereka bermain untuk Perlis tidak ada kontrak rasmi yang mengikat mereka.

Memetik laporan media Berita Harian, beliau berkata “Laporan ke atas Datuk (Ahmad Amizal) dibuat kerana dia menjanjikan kontrak semusim dan kami semua diarahkan untuk menandatanganinya namun dia sendiri memungkirinya.

“Dia sendiri mengaku bahawa kontrak kami itu tidak sah kerana dia tidak menandatanganinya.

“Perkara ini terbongkar pada 25 Januari lalu dalam pertemuan tertutup antara dia dan kami di sebuah hotel di daerah ini dan selama hampir dua bulan ini kami menjalani latihan secara buta,” katanya kepada Berita Harian.

Manakala Mohd Abdul Karim Khan pula didakwa telah menipu lebih RM11,000 wang pemain PNL2.

“Namun selepas diperiksa oleh kami sendiri terhadap jurulatih, mereka tidak menerima sebarang bayaran seperti didakwa Karim malah dia turut mengutip RM500 setiap jurulatih untuk satu transaksi yang tidak jelas.

“Jadi kami nak tahu wang itu ke mana dan saya harap pihak polis menyiasat perkara ini. Bagi pihak pengurusan Liga Malaysia pula, saya harap mereka mengambil perhatian akan isu ini dan selesaikanlah dengan kadar segera,” katanya kepada Berita Harian.