Malaysia Berita

Malaysia catat kemenangan pertama tahun 2023

Skuad kebangsaan meraih kemenangan pertama bagi tahun 2023 apabila menewaskan Turkmenistan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Satu-satunya gol Malaysia disumbangkan oleh Akhyar Rashid hasil larian pantas sebelum merembat bola menembusi gawang dari sudut yang sukar pada minit ke-28.

Ini meskipun jurulatih negara, Kim Pan-gon meletakkan 8 kacukan dan naturalisasi daripada 11 pemain dalam kesebelasan utama.

Hanya Syihan Hazmi, Akhyar dan Faisal Halim terlibat dengan kesebelasan utama.

Malaysia menguasai perlawanan pada separuh masa pertama namun berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol, dengan Turkmenistan lebih banyak bertahan.

Bagaimanapun, selepas jaringan Akhyar, Malaysia sukar untuk menambah gol, sebaliknya Turkmenistan mencipta lebih banyak peluang di hadapan gol.

Ia memaksa Pan-gon memasukkan Feroz Baharuddin dalam 10 minit terakhir, menjadikan sehingga 5 pemain di bahagian pertahanan.

Namun, pertahanan negara berjaya menghalang segala asakan pasukan lawan sehingga tamat perlawanan, terutama Syihan yang cemerlang apabila banyak kali menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu Hong Kong pada 28 Mac ini.

Perlawanan persahabatan ini adalah sebahagian daripada persiapan negara menjelang Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan.