Selepas hanya dua musim, Perak II akhirnya dibubarkan dan tidak akan bersaing dalam mana-mana liga bermula musim 2022.
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas Perak tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.
Beliau berkata, Perak menyasarkan untuk kembali ke pentas Liga Super dalam tempoh dua tahun.
“Setakat ini dalam perbincangan awal pihak pengurusan, Perak FC II terpaksa kita bubarkan,” katanya kepada Sinar Harian.
“Tak boleh buat apa dah, nak tukar semula nama jadi PKNP FC pun tak ada dalam perancangan.
“Fokus kami sekarang adalah untuk mengharungi Liga Premier mulai musim depan dan juga layak ke Piala Malaysia. Kalau rezeki boleh melangkau semula…alhamdulillah.”
Ketika ditanya mengenai hala tuju barisan pemain Perak FC II, Mohamad Yadzan mengesahkan ada pemain yang akan menyertai Perak dan ada yang tidak akan dikekalkan.
“Namun, perkara ini akan dibincangkan lagi. Cuma kami tak akan ada sampai dua tiga pasukan, belanjanya besar. Lagipun kami dah tetapkan kriteria dan siapa yang bagus akan pergi ke Perak.”
Perak II sepatutnya bersaing dalam Liga M3 musim hadapan, selepas MFL mengumumkan hanya 10 pasukan bakal beraksi dalam saingan Liga Premier bagi musim 2022.
Ini bermakna, hanya tiga pasukan reserve akan terus bertanding dalam Liga Premier iaitu JDTII, Selangor 2 dan Terengganu II.