Liga Premier Malaysia Berita

Sharbinee digantung 5 perlawanan, Elavarasan berdepan penggantungan 12 bulan

FAM membuat keputusan untuk mengenakan penggantungan kepada tiga pemain Sarawak United dan dua pegawai serta ketua jurulatih, E Elavarasan atas pelbagai kesalahan ketika pasukan itu tewas 1-0 kepada Negeri Sembilan, minggu lalu.

Penjaga gol Sarawak United, Mohd Sharbinee Allawee Ramli dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan denda sebanyak RM3,000 bagi Pertuduhan 1, penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 2 dan penggantungan satu perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 3.

Penggantungan lima perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik yang dikenakan ke atas pemain.

Bagi pertuduhan pertama, Sharbinee didapati berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila telah sengaja menerjah dengan kuat di bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Ramli.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didapati berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menolak dengan agresif di bahagian dada pengadil perlawanan setelah dilayangkan kad merah.

Bagi pertuduhan ketiga, berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menumbuk papan penggantian yang sedang diangkat oleh pegawai ke-4 untuk membuat penggantian pemain semasa beliau keluar padang setelah diperintah keluar oleh pengadil.

Ini bermakna, Sharbinee tidak boleh beraksi dalam perlawanan terakhir Liga Premier menentang Johor Darul Ta’zim II pada 21 September ini.

Baki penggantungan empat lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada empat perlawanan rasmi Liga Malaysia (Liga Super/Liga Premier/Piala Sumbangsih/Piala FA/Piala Malaysia/Challenge Cup) yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim hadapan tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan.

Sharbinee juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama, namun keputusan ini boleh dirayu.

Elavarasan pula dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 September 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

Ini atas tindakannya yang membuat kenyataan semasa temu ramah selepas perlawanan berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran di mana kenyataan semasa temu ramah yang dibuat olehnya secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk menangguhkan hukuman itu terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman penggantungan 12 bulan tersebut akan dikuat kuasakan serta-merta terhadap beliau.

Ela juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan keputusan ini boleh dirayu.

Pertahanan Sarawak United, Mohammad Amer Saidin dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 dan tidak boleh dirayu atas berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila setelah tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 secara agresif dan menolak bahagian dada pengadil perlawanan.

Seorang lagi pemain, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 1 dan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 2.

Penggantungan empat perlawanan yang dikenakan atas kesalahan berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap Penolong Pengadil 1.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didapati meluru ke arah Penolong Pengadil 1 secara agresif dan menolak dengan kuat di bahagian dada Penolong Pengadil 1.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didapati berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila setelah tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 secara agresif dan menolak di bahagian dada Pengadil Perlawanan.

Seorang pegawai Sarawak United, Abang Fomay Abang Sa’adeli dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.

Beliau didapati meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 yang masih berada di padang permainan dengan perbuatan agresif (cuba menyerang dan mencederakan Pengadil Perlawanan) yang menyebabkan kumpulan Pengadil terpaksa diiringi oleh pegawai keselamatan ke bilik persalinan.

Seorang lagi pegawai, Rudy Bujang dikenakan hukuman penggantungan selama 6 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 Mac 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

Beliau didapati berkelakuan tidak bersemangat sukan, namun keputusan boleh dirayu.