Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia 2018: Previu Matchday 4

Saingan bagi Piala Malaysia telah berlangsung sebanyak 3 perlawanan. Ini bermakna setiap pasukan akan mengharungi baki 3 perlawanan lagi sebelum saingan peringkat kumpulan tamat. Oleh itu mari kita lihat previu bagi aksi Piala Malaysia perlawanan keempat.

Terengganu FC gah mengungguli Kumpulan A dengan 7 mata bakal bertandang ke Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada hari Sabtu bagi menghadapi Felcra FC yang berada di tangga keempat dengan 2 mata. Terdahulu, Felcra FC berjaya mengikat Terengganu 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Manakala Perak di tempat kedua pula akan melayani Kuala Lumpur di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. Aksi ini akan disiarkan secara langsung di TV1.

Bagi aksi Kumpulan B, PDRM yang berada pada tangga keempat kumpulan akan berentap dengan Melaka United di Stadium Hang Jebat pada Ahad, 26 Ogos 2018. Melaka United berada pada tangga ketiga dengan 3 mata. Satu lagi aksi Kumpulan B akan diadakan pada hari Selasa, 28 Ogos 2018 iaitu diantara Felda United menentang PKNS FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. Felda United setakat ini telah mengumpul 7 mata dan PKNS FC pula mengumpul 4 mata. Perlawanan ini disiarkan secara langsung di TV9.

Kumpulan C bakal menjadi saingan sengit bagi keempat-empat pasukan kerana kesemua pasukan berpeluang untuk mara ke saingan kalah mati. Johor Darul Ta’zim bakal menerima kunjungan Kelantan di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin bagi misi membalas dendam atas kekalahan mereka di Kota Bharu tempoh hari. Manakala MIFA yang berada di tangga pertama Kumpulan C akan menerima kunjungan Kedah yang mula menunjukkan kebangkitan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad ini.

Pahang pada hari Sabtu ini akan bertemu PKNP FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam misi mengekalkan momentum untuk kekal di puncak Kumpulan D. Manakala Sabah pula akan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk berentap dengan pasukan Selangor. Kedua-dua pasukan Pahang dan Sabah berkongsi 7 mata namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan gol.

Itu sahaja previu bagi Matchday 4 Piala Malaysia 2018. Adakah akan ada perubahan kedudukan dalam setiap kumpulan selepas tamat kesemua perlawanan ini? Sama-sama kita saksikan.