Berita Asia

Sukan Asia 2018: Uzbekistan, Syria, Vietnam dan Korea mara suku akhir

Skuad serigala putih, Uzbekistan merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Hong Kong dalam aksi pusingan 16. Kemenangan ini melebarkan rekod cemerlang mereka dalam temasya Sukan Asia 2018 dan bersedia untuk menentang Republik Korea pada aksi suku akhir nanti.

Uzbekistan mula membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan Ikromjon Alibaev. Sebelum tamat masa pertama, pertahanan Yu Pui Hong dilayangkan kad merah dan Hong Kong terpaksa beraksi dengan 10 pemain. Uzbekistan pantas mengambil peluang dengan menjaringkan gol pada minit ke-60 dan minit ke-65 menerusi Javokjir Sidikov dan Zabikhillo Urinboev.

Syria pula berjaya mara ke saingan suku akhir setelah berhempas-pulas untuk menjaringkan gol pada minit ke-73. Penjaga gol gantian, Ramzi Alfahkouri tidak dapat menepis tandukan Ahmad Ashkar setelah menerima hantaran lintang Yousef Al Hamwi dari kanan. Awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan saling bermain dengan berhati-hati dengan kurang percubaan ke arah gawang lawan.

Wakil Asia Tenggara, Vietnam berentap dengan wakil Asia Barat, Bahrain. Skuad Golden Dragon terpaksa menunggu sehingga minit ke-88 untuk memecahkan kebuntuan menerusi Nguyen Cong Phuong. Sebelum itu, pemain Bahrain, Ahmed Sanad dilayangkan kad merah setelah melakukan ‘late tackle’ dan memaksa mereka bermain dengan 10 orang bermula minit ke-42. Walaupun bermain dengan 10 pemain, mereka tetap memberikan tentangan sengit buat Vietnam sehingga wisel penamat.

Korea pula berjaya mengatasi cabaran Iran dalam aksi pusingan 16 dengan kemenangan 2-0. Satu gol daripada Hwang Ui-Jo dan Lee Seung-woo memadai untuk membawa pasukan mereka mara ke peringkat seterusnya. Pastinya Son Heung-min menarik nafas lega dan mempunyai peluang untuk membawa Republik Korea memenangi pingat emas dalam temasya Sukan Asia 2018 ini. 

Untuk aksi suku akhir, Korea akan bertemu dengan Uzbekistan manakala Vietnam pula akan bertemu Syria.