Malaysia Santai

Safawi Rasid – Anak Dungun penyelamat Malaysia

Adakah sekali lagi Safawi Rasid akan menjadi wira buat Malaysia?

Selepas menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan, skuad bawah 23 tahun negara akan mengharapkan bisa Safawi Rasid dalam perlawanan menentang satu lagi gergasi bolasepak Asia, Jepun malam ini.

Safawi, anak kelahiran Dungun sedang berada dalam kemuncak prestasinya musim ini. Merupakan salah seorang daripada penjaring terbanyak tempatan dalam saingan Liga Super tahun ini, dia bagaikan seekor harimau yang kelaparan dan mahu mengganas di pentas Asia.

Pemain berusia 21 tahun ini merupakan seorang anak Terengganu yang tidak memulakan kerjayanya bersama Terengganu. Dia mula beraksi di Liga Malaysia bersama T-Team pada tahun 2015. Selepas aksi hebatnya bersama kelab daripada pantai timur itu, Johor Darul Ta’azim pantas mendapatkan khidmat Safawi pada tahun 2017.

Sejak tahun 2017, Safawi perlahan-lahan menunjukkan kehebatannya. Biarpun tidak terus beraksi dalam kesebelasan utama JDT, Safawi berkerja keras untuk membuktikan keupayaannya.

Biarpun bukan beraksi sebagai penyerang utama secara amnya, Safawi berjaya menjaringkan enam gol untuk JDT musim ini dan membuat banyak bantuan gol. Dia menjadi tunjang utama JDT biarpun merupakan antara pemain termuda dalam pasukan. Kepentingan Safawi kepada JDT dapat dibuktikan apabila JDT tidak dapat menunjukkan aksi terbaik mereka di Piala Malaysia.

Jadi apa seterusnya untuk Safawi? Perkara pertama pastilah membawa Malaysia mara lebih jauh dalam Sukan Asia kali ini. Tetapi apa selepas Sukan Asia? Adakah wajar untuk Safawi kekal di JDT atau dia boleh mula mensasarkan untuk beraksi bersama pasukan di luar Malaysia?

Safawi mungkin boleh kekal di JDT kerana mereka beraksi di Liga Juara-Juara Asia musim hadapan. Di sana ya, dia akan dapat menguji dirinya menentang pasukan-pasukan hebat, tetapi Liga Juara-Juara Asia tidak berlangsung setiap masa dan Safawi akan tetap beraksi di Liga Malaysia.

Mungkin paling terdekat untuk Safawi adalah beraksi di Liga Thailand. Ya, mungkin Liga Thailand tidak gah seperti Liga Jepun atau Korea Selatan, tetapi ia boleh menjadi batu loncatan kepada Safawi untuk ke dua negara itu.

Namun, mungkin juga selepas persembahannya ketika menentang Korea Selatan itu telah menarik perhatian kelab dari sana. Mungkinkah kita akan melihat Safawi menyarung jersi kelab seperti Jeonbuk Hyundai FC, Suwon Bluewings, atau FC Seoul? Atau mungkin Safawi akan ke Jepun, menyertai pasukan seperti Urawa Reds, Gamba Osaka dan Kashima Antlers?

Semuanya tidak mustahil untuk Safawi. Jika dia mahu, dan dia terus menunjukkan aksi mantap di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee, ianya tidak mustahil. Apa yang pasti, Malaysia perlukan Safawi memberi 200% dan tumbangkan Samurai Biru malam ini.