Berita Malaysia

Safawi idam jumpa Indonesia di separuh akhir

Malaysia bertemu Indonesia di Sukan Asia? Itulah harapan pemain skuad bawah 23 tahun negara, Safawi Rasid.

Melihat kepada susunan jadual, kedua-dua pasukan mempunyai potensi untuk bertemu sesama sendiri di pusingan separuh akhir. Namun, kedua-dua pasukan juga mempunyai tugas berat kerana perlu menewaskan pasukan-pasukan hebat bermula dengan UAE untuk Indonesia dan Jepun untuk Malaysia hari ini.

“Insya Allah, kalau ada rezeki masing-masing, mudah-mudahan kita akan berjumpa di separuh akhir,” kata Safawi seperti dilaporkan Bolalob.com.

Tahun ini skuad Malaysia dari pelbagai peringkat umur telah beberapa kali menentang Indonesia. Skuad bawah 23 tahun sendiri banyak kali bertemu Indonesia pada tahun lalu, kali terakhir di separuh Akhir Sukan SEA yang dimenangi Malaysia.

Indonesia yang diperkuat dengan sokongan padu penyokong tuan rumah pastinya sukar ditewaskan, tetapi Malaysia nampaknya mempunyai rekod yang baik beraksi di Indonesia dengan pelbagai kejuaraan dibawa pulang ketika beraksi di sana.

Mungkinkah impian Safawi akan terlaksana?