Malaysia Berita

Sukar bermain secara individu – Safawi Rasid

Menghuni carta penjaring terbanyak bersama penyerang Korea, Hwang Ui-Jo dengan 4 gol, Safawi Rasid tidak kisah siapa yang akan menjaringkan gol dalam pusingan kedua menentang Jepun, esok.

Apa yang penting adalah kemenangan untuk pasukan. Namun begitu, penyerang kelahiran Terengganu itu menegaskan bahawa adalah menjadi tugasnya melakukan jaringan untuk membantu pasukan dan dirinya mara ke peringkat seterusnya.

“Saya tidak kisah siapa yang meledak jaringan, janji keputusan positif kepada pasukan yang sudah mara sejauh ini,” kata Safawi.

“Namun sebagai penyerang saya sedar dan perlu melaksanakan tugas iaitu meledak jaringan bagi membantu pasukan serta diri sendiri.”

Penyerang Johor Darul Ta’zim itu konsisten dalam aksinya mewakili Malaysia pada saingan peringkat Kumpulan E. Bermula dengan perlawanan menentang Kyrgyzstan, dia menjaringkan satu gol, 2 gol ketika menumpaskan Korea dan satu gol ketika Malaysia tewas kepada Bahrain.

Pada masa yang sama, Safawi menekankan akan kepentingan mengikuti taktikal yang dirancang oleh jurulatih samada ketika bertahan dan juga menyerang.

“Kita akan mengikut taktikal yang dirancang jurulatih mengenai apa yang perlu dilakukan ketika menyerang dan bertahan.”

Selain itu, Safawi turut menekankan aspek permainan berpasukan berbanding individu.

“Mana-mana  pasukan yang bermain secara individu akan berdepan kesukaran berbanding mereka yang bermain secara berpasukan,” katanya.

Kali terakhir Malaysia berjaya mara ke saingan kalah mati dalam kejohanan bola sepak Sukan Asia adalah pada tahun 2010 dibawah kendalian Datuk K. Rajagobal. Walaubagaimanapun, pasukan Malaysia pada ketika itu tewas kepada Iran 3-1.