Berita Asia

Sukan Asia 2018: Jalan sukar buat Korea untuk memenangi emas

Son Heung-min memberi amaran kepada skuad Republik Korea bahawa mereka akan menempuh jalan sukar untuk memenangi pingat emas setelah gagal menduduki tempat pertama Kumpulan E.

Jaringan tunggal Son dalam pertembungan terakhir Kumpulan E berjaya membawa Republik Korea ke saingan 16 terakhir bertemu pasukan Iran – juga antara pasukan calon pilihan juara bagi temasya tersebut.

Selain itu, hanya pingat emas sahaja yang dapat mengecualikan beliau daripada mengikuti khidmat negara selama 21 bulan. Oleh itu, beliau mahukan rakan sepasukan supaya lebih tajam dihadapan gol.

“Pasukan Iran sangat kuat. Kami perlu membuat persiapan secukupnya.” katanya.

“Kami semua adalah pemain professional, saya rasa mereka perlu mengambil pengajaran – saya tidak perlu menyebutkan apa-apa kepada mereka.”

“Tetapi kami tahu apa yang perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya”

Korea menamatkan saingan peringkat Kumpulan E ditangga kedua setelah tewas mengejut 2-1 di tangan Malaysia.

Tambahan pula, kemenangan ke atas Iran pada aksi seterusnya akan menemukan mereka dengan Uzbekistan di peringkat suku akhir.

“Iran dan satu lagi pasukan Uzbekistan kedua-duanya mampu menjadi juara bagi kejohanan ini.” tambahnya lagi.

“Kami semua mempunyai peluang untuk memenangi emas.”

Ketua jurulatih Republik Korea, Kim Hak-bum juga senada dengan penyerang Spurs itu dengan menyatakan Iran “agak hebat”.

“Setiap perlawanan boleh jadi perlawanan terakhir kita” tegas Kim Hak-bum