Malaysia Santai

Harimau perlu berani bermimpi

Berani bermimpi.

Ya, sudah sampai masanya pemain, jurulatih, pegawai dan penyokong berani bermimpi.

Kali terakhir kita beraksi dalam acara bolasepak Sukan Asia di Jakarta, kita meraih pingat gangsa, jadi tidaklah mustahil untuk kita mengulanginya.

Sebelum Sukan Asia ini, mungkin ramai antara kita yang skeptikal dengan peluang skuad bawah 23 tahun negara kita. Bahkan, ada yang berpendapat mungkin sukar untuk kita melepasi peringkat kumpulan dan terkandas awal.

Siapa sangka, kita mara ke pusingan kedua selepas beraksi dalam dua perlawanan. Kalau kita lihat ranking skuad senior, kita merupakan negara dengan ranking FIFA terendah dalam kumpulan. Tetapi kita bukan sahaja mara, tapi kita mara dengan menewaskan juara bertahan yang diperkuat bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min dan beberapa pemain skuad Piala Dunia 2018.

Selepas ini Jepun pula menjadi penghalang kita. Adakah kita perlu berasa takut? Mungkin ya, tetapi itu tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk kita bermimpi.

Mimpi bukanlah angan-angan. Mimpi boleh jadi kenyataan. Dari mimpi boleh menjadi motivasi. Dari sekadar mimpi boleh menjadi inspirasi. Berhentilah memberi kata-kata dan pemikiran yang tidak akan membantu memberi semangat.

Buat anak-anak muda Malaysia yang akan beraksi Jumaat ini, jadikan bulan Ogos, bulan kemerdekaan kita disambut dengan kejayaan yang menakjubkan. Tunjukkan pada Asia bahawa Malaysia bukan lagi pasukan belasahan. Jadikan kesilapan di China awal tahun lalu satu perkara kecil dan mengaumlah dengan sekuatnya di Jakarta. Pingat emas di bumi Indonesia? Itulah hadiah paling bermakna.

Teruskan bermimpi wahai sang Harimau. Impikan kejayaan. Janganlah sekadar berangan, tapi tukarkan mimpi jadi kenyataan.