Berita Malaysia

Jika ada keinginan untuk menang, kita boleh tewaskan siapa sahaja – Datuk Ong Kim Swee

Kita boleh tewaskan siapa sahaja jika ada keinginan.

Itulah yang diungkapkan oleh ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menjelang perlawanan pusingan kedua Sukan Asia menentang Jepun esok.

“Saya harapkan barisan pemain dapat memberi tumpuan penuh pada aksi menentang Jepun nanti kerana saya percaya dengan sikap disiplin serta keinginan untuk menang, kita boleh menewaskan mana-mana pasukan,” kata Kim Swee seperti dilaporkan oleh Kosmo.

Skuad muda negara kini pastinya mempunyai motivasi tinggi selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menjadi juara terutamanya selepas menundukkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan kedua mereka.

Setakat ini, dua bintang utama negara dalam Sukan Asia adalah pemain Johor Darul Ta’azim (JDT), Safawi Rasid dan juga bintang muda Kedah, Akhyar Rashid.

Menurut Kim Swee, skuadnya kini berada dalam keadaan baik kecuali Akhyar yang masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Bahrain, Isnin lalu.

Jepun menghantar skuad muda yang mereka sedang persiapkan untuk Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti. Namun, usia muda mereka bukanlah satu alasan untuk skuad negara memandang rendah keupayaan pemain-pemain ini biarpun mereka tewas 0-1 kepada Vietnam.

Anak buah Kim Swee perlu memberikan fokus 200% dalam perlawanan ini untuk memastikan Malaysia layak ke suku akhir.