Piala Malaysia Berita

Kemerosoton prestasi pasukan dan kemudahan siaran langsung punca penonton tidak ke stadium

Persatuan bola sepak negeri perlu mencari formula baharu dalam usaha menarik minat penyokong liga tempatan kembali memeriahkan suasana di stadium.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu termasuk kemerosotan prestasi pasukan dan kemudahan siaran langsung atas talian.

Johan sendiri mengakui FAS yang dikendalikannya perlu memperbaiki segala kelemahan daripada aspek pengurusan dan menyediakan pasukan yang lebih mantap untuk menarik kepercayaan penyokong.

“FAS sangat terbuka kepada penyokong, kami di sini untuk mereka. Kalau dulu mungkin pengurusan tidak begitu terbuka, tapi dalam era Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah ini berlainan.

“Kami mahu dengar sendiri daripada penyokong, kami tak kisah mereka nak kritik atau sebagainya. Kami akan terima dengan hati terbuka dan mahu memahami apa kebimbangan yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abd. Aziz Yeop Jamaluddin pula berpendapat inisiatif baharu untuk menarik minat penonton ke stadium hanya boleh dilaksanakan sepenuhnya bagi saingan musim depan.

“Tahun ini sudah terlambat, tahun depan adalah masa paling sesuai untuk kita memikat semula hati penyokong untuk ke stadium.

“Banyak benda kita kena kaji terutamanya dalam pemilihan pemain baharu yang mampu menarik minat penonton. Tapi sekarang ini pun, kita masih ada penyokong tegar yang sentiasa berada di belakang pasukan.

“Saya juga percaya jumlah penyokong pasti akan meningkat apabila saingan Piala Malaysia memasuki pusingan kalah mati nanti,” katanya.