Piala Malaysia Berita

Karl Max ganti Shahrel Fikri di PKNP

Selepas lebih dua bulan menunggu, PKNP FC akhirnya berpeluang menurunkan penyerang import barunya, Karl Max Dany apabila menentang Pahang dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia, di Stadium Negeri, Batu Kawan, Sabtu ini.

Penampilan sulung pemain dari Chad itu sudah lama dinantikan jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim selepas pasukannya berdepan ketumpulan bahagian serangan sejak penghijrahan Shahrel Fikri ke Liga Thailand.

Menurut Abu Bakar, Dany yang mengalami kecederaan pergelangan kaki pada Jun lalu sudah pulih sepenuhnya dan memberi petunjuk positif sepanjang berlatih bersama pasukan sejak seminggu lalu.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan perkembangan yang ditunjukkan Dany dalam latihan selepas lebih dua bulan berehat. Berdasarkan keadaan semasa, saya yakin untuk menurunkannya pada perlawanan menentang Pahang kelak.

“Cuma dalam baki tempoh 48 jam sebelum hari perlawanan, saya akan terus memantau perkembangannya untuk menentukan sama ada mahu menurunkannya dalam kesebelasan utama atau hanya sebagai pemain gantian.

“Tetapi saya yakin, kehadiran Dany kelak akan membawa perubahan besar untuk barisan serangan kami yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada penyerang tempatan.

“Walaupun pemain tempatan seperti Hafiz Ramdan dan Fandi Ahmad menunjukkan peningkatan, hakikatnya untuk lebih berjaya, kami memerlukan sekurang-kurangnya seorang penyerang import,” katanya kepada Berita Harian.

Sepanjang dua perlawanan Piala Malaysia setakat ini, PKNP hanya menggunakan dua tenaga import, Ritus Krjauklis dan Kim Sang Woo selepas Franklin Anzite gagal mempamerkan aksi yang memberangsangkan.

Jurulatih itu mengakui Pahang yang bakal ditemui Sabtu ini bukan lawan mudah namun PKNP bertekad tidak mahu kehilangan mata lagi selepas ditewaskan 0-1 oleh Sabah, minggu lalu.

PKNP kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D selepas mengutip tiga mata hasil kemenangan 3-0 ke atas pasukan di tangga tercorot, Selangor dalam perlawanan sulung sambil Perak dan Sabah berada di atas hanya dengan kelebihan satu mata.