Malaysia Berita

Saya masih perlu perbaiki ketajaman di hadapan gol-Safawi Rasid

Penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Safawi Rasid percaya terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki menjelang pertemuan dengan Korea Selatan dalam perlawanan kedua Kumpulan E Sukan Asia 2018 malam ini.

Meskipun Safawi menjaringkan gol pendahuluan menerusi sepakan penalti serta melakukan dua hantaran silang yang membantu Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad menjaringkan gol kemenangan menumpaskan Kyrgyzstan 3-1, beliau belum berpuas hati dengan penyudahnya di hadapan gawang lawan.

Katanya, aspek serangan antara perkara yang perlu diberikan perhatian ketika menentang Korea Selatan sekiranya Malaysia mahu layak ke pusingan kalah mati.

“Masih banyak kelemahan yang perlu diatasi dan kita perlu lebih bersedia jika mahu meraih keputusan positif ketika bertemu Korea.

“Kami semua gembira dengan kejayaan meraih tiga mata penuh tetapi kemenangan itu masih belum mengesahkan tempat kami dalam pusingan seterusnya.

“Masih banyak kelemahan yang boleh diperbaiki termasuk penyudah peribadi yang saya perlu perkemaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia kini berada di tempat kedua Kumpulan E, ketinggalan dari segi jumlah gol kepada Korea Selatan yang menumpaskan Bahrain 6-0 dalam satu lagi perlawanan semalam. Kyrgyzstan di tempat ketiga manakala Bahrain keempat.

Sukan Asia kali ini disertai 25 pasukan yang dibahagikan kepada enam kumpulan. Dua pasukan teratas setiap kumpulan mendapat kelayakan automatik ke pusingan kedua, manakala empat pasukan dalam kelompok ketiga terbaik peringkat awal akan mengiringi mereka.

Ini bermakna, secara matematiknya, jika skuad negara seri dengan Korea Selatan sudah cukup untuk mereka mara ke saingan kalah mati.