Malaysia Asia

Sukan Asia 2018: Korea Selatan di tahap berbeza tetapi tiada yang mustahil dalam bolasepak

Tiada yang mustahil.

Itulah yang diungkapkan oleh ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan bertemu Korea Selatan hari ini.

Kedua-dua pasukan bermula dengan langkah kanan apabila menang dalam perlawanan pertama. Malaysia menang ke atas Kyrgyzstan 3-1 sementara Korea Selatan membelasah Bahrain 6-0 biarpun bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min tidak beraksi.

“Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Korea Selatan berada di tahap yang berbeza kerana semua 20 pemain yang mereka bawa ke temasya kali ini memiliki kualiti seimbang.

“Bagaimanapun, tiada apa yang mustahil dalam bolasepak tetapi saya akui akan mengubah sedikit taktikal di bahagian pertahanan selain mengekalkan corak pantas yang berjaya kami lakukan pada perlawanan pertama,” kata Kim Swee seperti dilaporkan oleh Kosmo.

Betul, tiada yang mustahil dalam bolasepak dan Korea Selatan sendiri telah membuktikannya. Siapa sangka mereka boleh mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 dulu? Siapa sangka Korea Selatan boleh menumbangkan juara bertahan, Jerman di Piala Dunia 2018 yang lalu?

Dua peristiwa ini wajar menjadi pembakar semangat untuk anak buah Datuk Ong Kim Swee berusaha mencipta kejutan hari ini. Kita sekadar tewas 1-2 kepada lawan yang sama di Kejohanan AFC Bawah 23 tahun Januari lalu. Jika Korea Selatan bertambah baik, pasti kita juga bertambah baik.

Pemain perlu beraksi 200% hari ini. Perlawanan ini penting untuk kita kerana kita juga sedang mencari mata untuk mara ke pusingan seterusnya. Ayuh Malaysia, tunjukkan pada Korea bahawa Malaysia kini sudah semakin kuat!