Pemain pertahanan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Syazwan Zaipol Bahari menganggap insiden pergaduhan antara Malaysia dengan UAE tidak sepatutnya berlaku namun tindak balas itu berlaku secara spontan selepas melihat dengan mata sendiri seorang pemain UAE, Mohammad Khalfan Eto yang cuba mencederakan Adib Zainudin.
Katanya, beliau berasa bersalah apabila bertindak balas terhadap insiden tersebut dan mengambil insiden itu sebagai satu pengajaran buat dirinya.
“Saya tahu mereka ada meludah dan pijak tetapi insiden dengan Adib itu saya dapat lihat jelas depan mata saya. Adib cuma halang dia tetapi tiba-tiba dia naik tangan dan ketika itu Adib berdarah di bahagian bibir.
“Ia berlaku dengan spontan. Ia diluar kawalan namun saya juga ada silap kerana ketika sedang mendahului, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau ikutkan mereka yang cetuskan dulu. Ini pengajaran dan pembelajaran untuk kami. Kami perlu kawal diri dan mengelak situasi ini ketika sedang mendahului pasukan lawan daripada rugi pemain dan tenaga,” katanya kepada Berita Harian.
Ketika ditanya mengenai perlawanan akan datang yang akan membabitkan negara Arab, Syazwan berkata insiden UAE akan mematangkan pemain untuk mengawal emosi ketika berdepan sebarang provokasi.
“Mungkin mereka tidak boleh terima kita sedang mendahului mereka dan mungkin mereka pandang rendah kepada kita. Jadi selepas ini, kita sudah tahu bagaimana reaksi mereka,” katanya.