Malaysia Berita

UAE yang mulakan provokasi-Ong Kim Swee

Ketua jurulatih Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee menganggap insiden pergaduhan antara Malaysia dengan UAE perlu dijadikan pengajaran kepada semua pemain supaya mengawal emosi masing-masing meskipun berdepan provokasi daripada pihak lawan.

Katanya, kemenangan 2-0 ke atas UAE di Stadium Shah Alam malam semalam ternyata menunjukkan seolah-olah UAE sukar menerima keputusan itu dan bertindak agresif sehingga mencetuskan pergaduhan keseluruhan pemain bagi kedua-dua pasukan.

“Saya sudah banyak kali berdepan dengan negara Timur Tengah dan mereka tidak boleh kalah dengan kita. Apabila kalah, mereka akan cuba lakukan provokasi. Itulah sikap mereka.

“Insiden ini bermula daripada pasukan lawan. Sudah pasti kita kena pertahankan diri kita dan pegawai pasukan juga perlu pertahankan pemain. Kita tidak melakukan provokasi dan ia bukan bermula daripada pemain kita,” katanya kepada Berita Harian.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia mengatasi UAE 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-64.

Insiden berlaku di tengah padang pada penghujung perlawanan ketika Malaysia mendahului 2-0 dan bermula apabila beberapa pemain serta pegawai UAE bertindak menyerang pemain kebangsaan, dipercayai berpunca daripada beberapa kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan sebelum itu.

Pergaduhan itu berjaya dikawal oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian.

Ong bagaimanapun berkata, beliau berharap kejadian seperti itu tidak berulang pada Sukan Asia 2018.

“Pemain kena belajar bagaimana mengawal keadaan seperti ini. Saya lebih fokus kepada cara kita bermain dan pastinya ini satu keputusan yang baik.

“Walaupun dalam separuh masa kedua, UAE menurunkan skuad terbaik, kita tetap berdisiplin mengekang lawan daripada meraih jaringan dan itu satu petanda yang positif.

“Buat masa ini, tidak ada sebarang kecederaan serius. Saya harap tidak ada apa-apa kecederaan serius berlaku sebelum pasukan bertolak ke Indonesia.

“Pemain perlu lebih pandai mengawal emosi mereka bila berhadapan dengan provokasi daripada pihak lawan, jika insiden ini berlaku semasa di Sukan Asia nanti ia akan merugikan kita,” katanya.