Liga Super Malaysia Berita

Mehmet Durakovic kembali ke Selangor musim depan?

Desas-desus Mehmet Durakovic kembali ke pangkuan Red Giants mungkin akan menjadi kenyataan.

Ketika ini terdapat khabar angin yang tersebar secara meluas di media sosial yang mengatakan jurulatih Perak itu berada dalam radar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin tersebut tetapi pada masa yang sama, beliau juga tidak menafikan khabar angin itu.

“Kami belum bersedia untuk buat apa-apa kenyataan lagi dan masih dalam proses mengkaji. Penting untuk kami tidak mengacau mana-mana perhatian jurulatih pasukan lain.

“Kami mahu bersikap lebih profesional dan bila sudah ada keputusan nanti kami akan umumkan.

“Perbincangan dengan beberapa jurulatih memang sudah ada, tapi kami tidak boleh dedahkan,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, FAS mengesahkan empat calon jurulatih berada dalam radar FAS bagi membimbing Selangor musim depan.

Durakovic tidak asing lagi dalam kalangan penyokong Selangor kerana beliau pernah mewakili Red Giants sebagai pemain sejak tahun 1995 sehinggalah 1998.

Malah, jurulatih berusia 52 tahun itu kembali bersama Selangor sebagai jurulatih pada 2013 dan berjaya menamatkan penantian kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33 selepas lebih 10 tahun.

Namun, jodohnya bersama Selangor tidak bertahan lama selepas pasukannya gagal menandingi juara bertahan Liga Super, JDT, meskipun berjaya membawa pasukannya menduduki tempat kedua liga dua tahun berturut-turut sepanjang mengendalikan pasukan tersebut.

Walaubagaimanapun, sejak dilantik sebagai jurulatih Perak tahun lalu, beliau berjaya mengatur semula pasukan Perak yang menduduki tempat kelima musim lepas dan menamatkan musim ini di tempat kedua liga sekali gus layak ke pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2019.