Malaysia Berita

Ong Kim Swee dedah sebab tidak panggil striker senior ke Sukan Asia

Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee sanggup mengambil risiko untuk tidak menyenaraikan penyerang lebih umur apabila hanya mempertaruhkan penyerang muda untuk mengharungi Sukan Asia 2018 minggu hadapan.

Daripada tiga kuota pemain lebih umur, beliau memilih pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dan dua pemain pertahanan iaitu Rizal Ghazali serta Aidil Zafuan Abd Radzak.

Baddrol dan Rizal masih lagi bersama pasukan namun Aidil tidak dapat bersama akibat kecederaan hamstring dan Kim Swee tidak boleh memanggil pemain lain daripada senarai 30 pemain yang didaftarkan.

Pilihan Ong dilihat agak luar biasa apabila pasukan bolasepak gergasi Asia seperti Korea Selatan pun memanggil penyerang pasukan kebangsaannya, Son Heung-min bagi mengisi kuota pemain lebih umur.

Ketika ini, daripada senarai 22 pemain yang dibawa ke China bagi latihan persiapan, Kim Swee hanya memiliki Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, R. Kogileswaran dan N. Thanabalan untuk mengisi bahagian serangan.

Itu tidak termasuk Jafri Firdaus Chew yang mengalami kecederaan manakala Hadi Fayyadh Abd Razak dilepaskan kerana perlu mengikuti sesi percubaan dengan kelab liga divisyen dua di Jepun, Roasso Kumamoto.

“Saya tahu mungkin ada yang mempertikaikan kenapa saya hanya membawa pemain muda di bahagian serangan, tapi saya mempunyai kepercayaan dengan penyerang yang ada bersama pasukan ketika ini.

“Kalau kita lihat berdasarkan prestasi pemain di China dalam Kejohanan AFC B-23, Januari yang lalu, pemain seperti Safawi, Akhyar dan Thanabalan beraksi dengan baik, Syafiq tidak bersama dengan pasukan sebelum ini tapi dia menjaringkan gol ketika mewakili skuad senior,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah Kim Swee, beliau kekal tenang dan bersahaja walaupun pilihan pemainnya semakin terhad akibat masalah kecederaan, malah sanggup melepaskan Hadi ke Jepun demi karier pemain muda itu.

“Ini peluang keemasan untuk Hadi merebut peluang. Harus diingat peluang ini bukan selalu datang. Saya sangat inginkan Hadi bersama pasukan B-23 tetapi dalam masa yang sama saya tahu ini adalah masa depannya di mana dia akan menjadi pemain yang lebih baik di Jepun,” katanya.