Kajian & Analisis Liga Super Malaysia

Pemain import Asean di Liga Super 2018, berjaya atau tidak?

Liga Super 2018 tamat dengan Johor Darul Ta’azim muncul sebagai juara dan Negeri Sembilan bersama Kelantan tersingkir ke Liga Premier. Musim 2018 ini begitu banyak drama dan penambahan. Musim ini kita melihat buat pertama kalinya kuota import Asia Tenggara diperkenal. Banyak pasukan telah mengambil pemain dari negara-negara Asean, tetapi adakah penambahan kuota ini berjaya menguatkan pasukan.

Penambahan kuota Asean ini mungkin dilihat sebagai salah satu cara untuk menarik minat penyokong dari negara lain di Asia Tenggara. Tidak dapat dinafikan, kehadiran pemain import Asean ini, terutamanya dari Indonesia telah menarik perhatian peminat dari negara pemain berkenaan. Namun, impak ini tidak diterjemah kepada kehadiran di stadium.

Pemain dari Indonesia memang sudah ramai yang mencuba nasib di Malaysia. Suatu ketika dahulu, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy telah membuatkan Stadium Shah Alam penuh dengan penyokong. Tarikan dua bintang Indonesia ini menarik juga warga Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia. Sayangnya, kehadiran Evan Dimas, Ilham Udin, Achmad Jufriyanto, Ferdinand Sinaga dan David Laly kurang memberi impak yang diharapkan dari segi menarik peminat Indonesia. Mungkin ia menarik perhatian peminat bolasepak yang berada di Indonesia, tetapi tidak terlalu kuat untuk menarik tenaga kerja Indonesia yang berada di Malaysia ke stadium.

Dari segi persembahan pemain-pemain Asia Tenggara ini juga ramai peminat yang merasa sedikit kecewa. Menurut mereka, keupayaan pemain-pemain ini sebenarnya tidak jauh beza dengan pemain tempatan. Iyalah, mereka bukanlah pemain dari Eropah, Afrika atau Amerika Selatan. Liga mereka juga tidak jauh beza dari Malaysia, jadi sudah tentu persembahan mereka tidak jauh beza atau mungkin kurang dari pemain kita sendiri.

Kalau melihat kepada pemain-pemain Asean ini, yang dilihat berjaya dan memberikan impak yang diharapkan adalah pemain dari jiran terdekat kita, Singapura. Pemain seperti Hariss Harun, Faris Ramli, Shahdan Sulaiman dan Safuwan Baharudin memberikan impak kepada pasukan masing-masing. Tapi mungkin juga kerana mereka sudah mempunyai pengalaman bermain di Malaysia ketika mewakili Lions XII, jadi mereka sudah tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di Malaysia.

Bagaimana ciri pemain import Asean yang boleh berjaya di Liga Super? Adakah pemain muda yang meningkat naik? Atau pemain veteran yang boleh memberikan didikan dengan pengalaman mereka? Kita sudah melihat pemain seperti Chan Vathanaka, Evan Dimas, Ilham Udin yang bergelut di Liga Malaysia sedangkan mereka ini dikatakan bintang muda di negara sendiri. Kemudian ada pula pemain berpengalaman seperti Thierry Chantha Bin, Achmad Jufriyanto dan Misagh Bahadoran yang tidak terlalu menyerlah.

Satu perkara yang pemain import Asean perlu tahu jika mahu mencuba nasib di Malaysia pada musim hadapan adalah jangkaan tinggi peminat tempatan. Mereka datang sebagai pemain import, jadi mereka perlu memberi impak secepat mungkin dan lebih bagus dari pemain tempatan. Tiada masa untuk pemain import menyesuaikan diri dan menunjukkan aksi lebih teruk atau sama dengan pemain tempatan. Bagi peminat, tiada beza antara pemain import Asean dengan pemain import Asia atau antarabangsa. Persembahan tidak bagus, maka tunggulah masa untuk ditendang keluar.