Liga Super Malaysia Berita

Kelantan tersingkir, Popov salahkan Bibi Ramjani

Velizar Popov menyalahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan selepas Kelantan tersingkir ke Liga Perdana buat pertama kali selepas hampir 10 tahun bersaing di Liga Super.

Bekas pengendali The Red Warriors (TRW) pada musim 2016 itu memberitahu, prestasi pasukan dari Pantai Timur musim ini adalah yang terburuk selepas dua tahun meninggalkannya.

“Dua tahun lalu saya diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang meraih kemenangan besar di tempat lawan ketika menang menentang Terengganu dengan keputusan  6-1.

“Pada tahun sama kami berjaya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat walaupun musim yang sukar dan pelbagai masalah pengurusan.

“Kini, selepas dua tahun, masih sukar untuk percaya bahawa Kelantan telah tersingkir dari Liga Super. Tetapi pasukan yang tersingkir ini ialah ‘Bibi FC’ diketuai presiden Kafa yang akan kekal sebagai sejarah terburuk Kelantan.

“Ia bukan TRW kerana penyokong-penyokong Kelantan adalah TRW – Ini adalah Kelantan, Ini adalah Kota Bharu, GKG !!,” katanya dalam satu status di laman Facebooknya.

Kelantan sah tersingkir ke Liga Perdana selepas tewas 2-0 di tangan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Isnin malam.

Biarpun masih berbaki satu perlawanan, pasukan yang dikendalikan Yusri Che Lah itu tidak dapat lagi mengejar Selangor di tangga ke-10 sekali gus memusnahkan harapan Kelantan untuk kekal di Liga Super musim depan.