Kedah bersetuju untuk melepaskan tiga tonggak utamanya yang dipanggil untuk memperkuatkan pasukan Bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi Sukan Asia 2018 bulan depan.
Pengurus Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin berkata, tiga pemain tersebut iaitu penjaga gol Ifwat Akmal, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali akan melapor diri bagi latihan pusat pada 30 Julai ini.
“Kedah sentiasa komited dalam melepaskan pemain bagi tugasan antarabangsa.
“Perkara ini bukanlah perkara baru kerana sejak turun-temurun pemain Kedah sentiasa mendapat panggilan mewakili Harimau Malaya dalam kejohanan antarabangsa dan kita sentiasa memberi kerjasama dalam memastikan tugasan negara diutamakan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut, Syed Khairul berkata, ketiga-tiga pemain itu bagaimanapun akan terlepas tiga atau empat perlawanan kumpulan Piala Malaysia.
“Seorang pemain lagi iaitu Akhyar Rashid pula dalam senarai simpanan Ong tetapi masih dalam tempoh pemulihan,” katanya.
Namun katanya, meskipun Kedah akan beraksi tanpa kelibat tiga tonggak utama itu, pemain muda Kedah telah menunjukkan aksi yang memberangsangkan.
“Beberapa perkembangan pemain muda yang memberangsangkan sebelum ini memberi sedikit kelegaan kem pasukan bagi menampung ketiadaan pemain utama.
“Sesiapa sahaja yang diberi tanggungjawab mampu melakukan tugasan dengan sebaiknya buat Kedah,” katanya.
Selain Kedah, tiga lagi pasukan Liga Super iaitu JDT, PKNS FC dan Kuala Lumpur telah pun bersetuju melepaskan pemain mereka untuk Sukan Asia bulan depan.