Malaysia Berita

FAM enggan burukkan hubungan dengan Indonesia

Pengurus pasukan Bawah 23 Tahun, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan memburukkan hubungan dengan negara jiran Indonesia meskipun penyokongnya sering bertindak sebaliknya.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, keadaan penyokong-penyokong Indonesia sememangnya begitu dan sudah beberapa kali skuad negara berdepan dengan saat mencemaskan ketika bermain di laman mereka.

“Jika dilihat insiden baru-baru ini, ia nampak seperti buruk sangat.

“Tetapi kita mengambil pendekatan yang lebih baik, disebabkan hubungan yang terjalin antara presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin dan presiden Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), kita selesaikan cara persahabatan.

“Kita tidak mahu sampai membuat bantahan kerana banyak lagi perlawanan akan berlangsung di Indonesia.

“Tetapi kita bertegas di masa akan datang, tahap keselamatan pemain mesti lebih diutamakan.

“Kita dah faham penyokong sana. Cuma kalau kita nak disiplinkan mereka, ia sangat susah kerana sama sahaja perangai mereka ketika perlawanan di antara kelab-kelab di sana,” katanya ketika di tanya mengenai tahap keselamatan pasukan menjelang Sukan Asia bulan depan.

Tambah Mohd Yusoff, pihaknya akan berbincang lebih terperinci mengenai tahap keselamatan agar tidak memudaratkan pemain kebangsaan.

Pemain Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) berdepan detik cemas sejurus selepas tamat perlawanan menentang Indonesia yang menyaksikan penyokong tuan rumah tidak berpuas hati dengan kekalahan lalu membaling pelbagai objek keras seperti botol dan batu ke arah pasukan kebangsaan.

Insiden itu mendapat perhatian penyokong Malaysia, selain badan berwajib seperti FAM, AFF dan AFC.